KUALA LUMPUR – Terbuka berkongsi kemesraan dalam media sosial, percintaan pelakon popular Anna Jobling dengan aktor Indonesia, Karel Susanteo bukan lagi rahsia.
Anna atau nama lengkapnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abd. Rahman Jobling, 26, bahkan turut bercuti bersama jejaka itu ke Amerika Syarikat bulan lalu.
“Kami bercuti di Amerika Syarikat tetapi bukan berdua. Bersama dengan teman-teman dan keluarga. Bila sudah penat bekerja sepanjang tahun ‘back to back’ jadi saya ambil masa untuk bercuti.
“Saya terbuka berkongsi momen bersama. Ia bukan lagi rahsia. Tetapi saya juga punya kehidupan privasi. Apa yang saya rasa saya nak kongsi saya akan kongsi. Tiada apa yang perlu saya malukan.
“Apa yang boleh saya katakan doakan yang terbaik untuk saya. Saya juga berhak untuk bahagia begitu juga dengan yang lain,” katanya ketika ditemui di sidang media pelancaran koleksi terbaru Tomei, di sini, hari ini.
Ditanya tentang respons peminat yang merestui dan gembira melihat dia diulit bahagia bersama jejaka terbabit, kata Anna dia hanya mampu mengucapkan rasa syukur.
“Alhamdulillah. Apa yang kami mahukan adalah doa yang baik-baik daripada semua. Saya baca komen-komen peminat ada yang sangat ‘sweet’ tetapi ada juga yang tak setuju. Tetapi saya ‘ignore’ sahaja,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Anna Jobling sekalai dipilih sebagai duta jenama barang kemas Tomei. Tahun ini merupakan tahun ketiga aktres jelita itu menjadi wajah untuk kempen raya jenama itu.
“Alhamdulillah saya masih lagi kekal sebagai duta Tomei. Tahun ini kita ada banyak koleksi dan rekaan yang cantik khusus untuk hari raya Aidilftiri.
“Sebagai seorang yang sukakan barang kemas, sudah tentu saya teruja untuk beraya bersama rangkaian koleksi Tomei,” katanya. KOSMO! ONLINE














