ISU kekangan dana yang membelenggu pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli bagi menghadapi Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) kelas Moto3 disifatkan bukan sekadar masalah kewangan, sebaliknya bukti kegagalan pengurusan yang sistematik.
Bekas Prinsipal RNF MotoGP, Datuk Razlan Razali dalam satu temubual eksklusif bersama Kosmo! menegaskan, situasi seperti ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya perancangan rapi telah dibuat lebih awal memandangkan bakat remaja itu sudah digilap sejak sekian lama.
Tegas Razlan, Hakim Danish telah berada di bawah program pembangunan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sejak berusia 12 tahun, justeru kegagalan menyediakan dana kukuh apabila pelumba itu naik pangkat ke Moto3 bersama pasukan MT Helmet MSi pada usia 18 tahun telah menunjukkan kelemahan ketara dalam merangka pelan jangka panjang.

Malah, Razlan menempelak sikap pengurusan tertinggi badan induk itu yang dilihat terlalu pasif dan hanya bergantung harap kepada dana kerajaan berbanding agresif memburu tajaan korporat.
“Dalam sukan permotoran, apabila sesuatu diumumkan, malah sebelum pengumuman rasmi bahawa Hakim Danish akan ke Moto3 sudah tentu perancangan yang teliti telah dibuat, khususnya dari segi pembiayaan kemasukannya ke Moto3.
“Tidak mungkin sesuatu pengumuman dibuat tanpa pelan yang jelas dan teratur. Jadi, bagi saya ini soal komitmen. Jika SIC benar-benar mahu membantu bakat tempatan seperti Hakim Danish, mereka pasti akan melaksanakannya.
“Masa zaman kami bawa Zulfahmi Khairuddin di Moto3 dulu, kami cari tajaan korporat dan tidak tidak boleh duduk diam di kerusi empuk dan tunggu dana datang bergolek,” katanya kepada Kosmo!.
Razlan turut bimbang terhadap kesan psikologi yang dihadapi oleh pelumba berusia 18 tahun itu yang sepatutnya kini hanya memikirkan tentang latihan dan strategi perlumbaan di Eropah, bukannya soal duit.
“Paling saya risaukan ialah kesannya terhadap mental Hakim Danish. Dia tidak sepatutnya mendengar perkara-perkara seperti ini, apatah lagi ini adalah penampilan sulungnya di Moto3, sepatutnya dia tidak dibebani dengan isu-isu sebegini.
“Inilah masa yang tepat untuk dia melangkah ke Moto3. Namun apabila tiba masanya, perancangan pula tidak dibuat dengan rapi, tidak jelas sumber dana, tidak jelas hala tuju. Ini tidak sepatutnya berlaku,” jelasnya.
Kekangan dana tersebut bukan sahaja merisikokan masa depan Hakim Danish, malah kepada program pembangunaan lain seperti juara ESBK Talent Cup 2025, Qabil Irfan Azlan yang akan bersaing di Moto4 Asia Cup dan Moto4 di Eropah.














