MELBOURNE – Bekas ketua pasukan Red Bull, Christian Horner menyuarakan keyakinan tinggi terhadap kemampuan Oscar Piastri untuk bangkit dengan prestasi lebih agresif pada perlumbaan Formula Satu (F1) musim 2026.
Horner percaya kekecewaan terlepas gelaran juara dunia pada musim lalu akan menjadi pembakar semangat terbaik buat pelumba McLaren itu untuk mempamerkan kematangan dan kualiti sebenar dirinya di litar.
Pada kempen 2025, Piastri dilihat sebagai calon kegemaran untuk merangkul kejuaraan apabila mendahului rakan sepasukan, Lando Norris dengan kelebihan 34 mata selepas Grand Prix Belanda, namun rentaknya terganggu pada saingan separuh kedua musim.
Kemerosotan prestasi itu menyaksikan pelumba kelahiran Australia tersebut sekadar menamatkan saingan di tangga ketiga keseluruhan, manakala Norris berjaya memintas kedudukannya dengan perbezaan 13 mata untuk dinobatkan sebagai juara dunia.
“Oscar pasti belajar banyak perkara daripada musim lalu. Saya fikir dia adalah calon utama sebelum rehat musim panas, tetapi malangnya momentum itu terganggu di penghujung saingan.
“Namun, dia akan belajar daripada pengalaman itu. Kekecewaan itu pasti menyakitkan, tetapi pada akhirnya ia akan memotivasikan dirinya untuk menjadi lebih baik,” kata Horner.
Horner menegaskan Piastri masih baharu dalam kancah F1 dan percaya proses pembelajaran pelumba muda itu sedang berada di fasa peningkatan.
“Anda terlupa bahawa dia baru beraksi beberapa musim dalam F1. Dia masih kurang pengalaman, jadi saya fikir dia akan menjadi semakin baik dan bakal bersedia sepenuhnya memberi tentangan setiap pusingan perlumbaan,” tambahnya. -AGENSI














