SELEPAS tiga tahun mengadakan konsert jelajah di beberapa universiti tempatan, Universal Music Malaysia (UMMY) bersama L.Y. Music Factory dan Faithful Music melancarkan edisi pertama program pencarian bakat, Bintang Uni-Verse.
Program terbabit merupakan platform pencarian bakat yang menawarkan media bagi para pelajar universiti menonjolkan bakat mereka dalam bidang nyanyian.
Bukan sekadar program carian bakat, acara ini juga bertujuan untuk mendedahkan pelajar-pelajar dengan pengalaman pembelajaran secara langsung dalam industri hiburan tanah air.
Acara ini dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman sekali gus menandakan langkah strategik dalam menghubungkan industri muzik dengan pendidikan.
Majlis pelancaran yang berlangsung di pejabat Universal Music Malaysia itu turut menyaksikan kerjasama strategik antara UMMY dan lima universiti terkemuka Malaysia antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Menurut Pengarah Urusan UMMY, Kim Lim, idea untuk menghasilkan program ini tercetus selepas melihat sambutan daripada pelajar universiti terhadap muzik tempatan.
“Tahun lalu saya bertemu dengan LY (komposer) dan dia bertanya kemungkinan buat sesuatu dengan universiti tempatan. Saya kata kenapa tidak. Pelajar universiti tempatan kurang mendapat pendedahan untuk bekerja dengan syarikat antarabangsa seperti Universal,” katanya.
Tambahnya, setiap peserta yang terlibat akan memperoleh pendedahan, bimbingan dan pengalaman industri yang sangat bernilai.
“Ini adalah platform bakat bertemu peluang dan harapan terbesar melalui inisiatif ini adalah untuk memperkukuh jaringan strategik antara universiti-universiti awam di Malaysia dengan industri muzik tempatan.
“Kami berharap Bintang Uni-Verse menjadi platform awal untuk menemui dan membina bakat yang ada di Malaysia, menginspirasi kreativiti, dan membentuk generasi artis seterusnya, sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa,” jelasnya.
Pemilihan universiti
Ditanya tentang pemilihan universiti yang terlibat, kata Kim, untuk edisi pertama hanya lima universiti yang terlibat merangkumi setiap daerah dalam Malaysia.
“Sebenarnya universiti-universiti ini yang memilih kami untuk bekerjasama. Kita ada kemukakan idea ini kepada beberapa buah universiti. Untuk edisi pertama ini, kita lakukan di lima buah universiti dahulu,” ujarnya.
Sementara itu, LY atau Rozman Shafie selaku Pengarah Kreatif L.Y. Music Factory berkata, Bintang Uni-Verse bukan sekadar pertandingan tetapi adalah platform untuk mencari dan membina generasi profesional muda berpotensi untuk jangka panjang.
“Apa yang menjadikan program ini istimewa adalah elemen pemindahan ilmu iaitu pemain industri berkongsi pengalaman sebenar dengan pelajar.
“Harapan saya, Bintang Uni-Verse akan menjadi jambatan bermakna antara proses pembelajaran dan pekerjaan sebenar dalam memperkasakan Industri muzik,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai tarikh uji bakat, jadual jelajah kampus, dan garis panduan penyertaan akan diumumkan tidak lama lagi melalui platform rasmi Universal Music Malaysia.














