KUALA LUMPUR – Cabaran skuad lelaki negara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 di Qingdao, China menemui titik noktah selepas tewas 0-3 kepada Jepun di pusingan suku akhir.
Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Qingdao sebentar tadi, Jepun sememangnya sudah diramal untuk meneruskan kemaraan ke separuh akhir apabila turun sebagai pilihan keempat kejohanan.
Perseorangan pertama negara, Justin Hoh yang beraksi cemerlang ketika berdepan Zaki Ubaidillah semalam tidak dapat mengekalkan momentum itu apabila tewas 17-21, 22-20, 11-21 kepada pemain No.19 dunia, Yushi Tanaka.
Meskipun bangkit memenangi set kedua, namun bekas juara remaja Asia itu seolah-olah buntu pada set penentuan sebelum tewas 11-21 bagi menghadiahkan mata pertama buat Jepun untuk mendahului 1-0.
Penguasaan Jepun diteruskan lagi oleh bekas juara dunia beregu lelaki, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang menewaskan gandingan Arif Junaidi-Yap Roy King menerusi aksi straight set 21-14, 21-12.
Justeru, sandaran diletakkan kepada perseorangan kedua, Aidil Sholeh Ali Sadikin untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata berdepan Koki Watanabe bagi membolehkan perlawanan diheret ke aksi keempat.
Meskipun bermula baik dengan mencatat kemenangan di set pertama, namun pemain profesional itu tidak dapat menyekat kebangkitan Watanabe dalam dua set berikutnya sebelum tewas 22-20, 11-21, 3-21 dan menyaksikan Jepun mara ke separuh akhir.
Sebagai rekod, Malaysia pernah memenangi kejohanan berpasukan itu ketika menjadi tuan rumah bagi edisi 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. – KOSMO! ONLINE














