PETALING JAYA – Pelakon Sharifah Rose mengakui watak Anisah lakonannya dalam drama Doa Yang Terlindung adalah karakter yang paling berat pernah dilakukan selain mencabar kemampuannya sebagai seorang anak seni.
Menurut Rose, 28, dia pada awalnya berasa gementar untuk menerima tawaran drama tersebut, namun jalan cerita dan skrip yang bagus membuatkannya yakin untuk meneruskannya.
“Masa pertama kali saya dapat skrip, rasa gemuruh sebenarnya nak masuk set penggambaran sebab jalan cerita yang berat dari episod awal hingga akhir, sebab macam-macam episod hitam karakter Anisah perlu lalui.
“Selalunya saya bawa watak comel dan komedi tetapi kali ini memang berbeza.
“Daripada episod tiga hingga empat memang tidak berhenti babak menangis, sehingga ada satu hari saya balik rumah dan migrain sebab terlalu banyak babak begitu. Mental dan fizikal memang sangat penat,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Meski memegang watak yang berat, dia bagaimanapun bersyukur apabila digandingkan dengan barisan pelakon hebat seperti Fasha Sandha, Firdaus Karim dan Nafiz Muaz dalam drama tersebut.
“Ini pertama kali saya bergandingan dengan mereka bertiga. Mereka sangat membantu saya yang masih baru ini.
“Alhamdulillah masing-masing memberi energi yang sama dan proses penggambaran dipermudahkan.
“Semoga mesej yang hendak disampaikan dalam naskhah tersebut diterima baik oleh penonton,” ujarnya.
Doa Yang Terlindung arahan Idora Abdul Rahman yang ditayangkan menerusi slot Akasia TV3 kini hangat menjadi bahan bualan ramai susulan mengangkat isu penunggang agama dalam kalangan masyarakat. – KOSMO! ONLINE














