JAKARTA – Seorang lelaki ditahan kerana didakwa memberikan racun tikus kepada ibu dan dua adik-beradiknya yang ditemui mati di rumah mereka di Jakarta Utara hari ini, lapor saluran berita CNN.
Polis Metro Jakarta Utara dan Pusat Makmal Forensik Polis Negara (Puslabfor) mengesahkan ketiga-tiga mangsa meninggal dunia akibat meminum racun tikus atau nama kimianya, zinc phosphide.
“Berdasarkan pemerhatian dan bukti lain, kami menamakan suspek sebagai AS, 24, kerana meracuni ketiga-tiga mangsa dengan sengaja,” kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Jakarta Utara, AKBP Onkoeseno Gradiarso.
Keputusan itu dibuat selepas unit forensik melakukan bedah siasat dan ujian toksikologi ke atas mayat tiga mangsa yang dikenal pasti sebagai SS (50), AF (27) dan AD (14).
Ujian makmal mendedahkan kehadiran bahan kimia berbahaya di dalam perut dan organ utama ketiga-tiga mangsa, yang membawa kepada kematian mereka.
Pakar forensik Hospital Sukanto, Dr Mardika berkata, hasil bedah siasat menunjukkan tiada kecederaan fizikal pada mayat, sebaliknya kematian dipercayai berpunca daripada pengambilan bahan kimia toksik yang berlebihan.
Onkoeseno mendedahkan bahawa suspek menyimpan dendam terhadap keluarganya kerana dilayan secara berbeza dan sering dimarahi oleh ibunya.
Siasatan kes masih dijalankan. – AGENSI














