fbpx
Steven berucap pada sidang akhbar Program Berkat dan Barakat di Pejabat SME Corp Malaysia, hari ini. Foto oleh AMIR KHALID

Usahawan dapat dana RM80 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM80 juta menerusi dua skim pembiayaan khas bagi membantu usahawan mikro dan kecil sempena musim perayaan Ramadan dan Tahun Baharu Cina.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Steven Sim Chee Keong berkata, peruntukan itu melibatkan Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (Barakat) bernilai RM50 juta yang dilaksanakan oleh Tekun Nasional serta Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina (Berkat) berjumlah RM30 juta di bawah SME Corp. Malaysia.

“Skim Barakat menyediakan pembiayaan sehingga RM30,000 kepada peniaga kecil dan usahawan mikro, khususnya mereka yang menjalankan perniagaan di pasar Ramadan dan kawasan tumpuan jualan sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri,” katanya pada sidang media pengumuman Program Barakat dan Berkat di SME Corp, hari ini.

Menurut beliau, pembiayaan tersebut ditawarkan dengan kadar keuntungan 3 peratus setahun bagi membantu peniaga menambah stok, meningkatkan promosi serta melancarkan operasi perniagaan ketika tempoh permintaan tinggi.

Sementara itu, program Berkat disasarkan kepada perusahaan mikro milikan masyarakat Cina, khususnya dalam sektor makanan dan pengeluaran produk tradisional sempena sambutan Tahun Baharu Cina dengan had pembiayaan dan kadar keuntungan yang sama.

“Kedua-dua skim berkenaan bertujuan memastikan usahawan kecil daripada pelbagai latar belakang mendapat akses pembiayaan yang lebih mudah dan pantas ketika musim perayaan.

“Proses kelulusan permohonan pembiayaan kini juga disasarkan dalam tempoh lima hingga tujuh hari, berbanding sebelum ini yang mengambil masa selama 30 atau 40 hari,” katanya.

Mengulas lanjut, skim Barakat dianggarkan dapat memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 usahawan, manakala program Berkat pula melibatkan kira-kira 1,000 penerima.

“Bagaimanapun, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk menambah peruntukan sekiranya terdapat permintaan tinggi terhadap skim pembiayaan berkenaan dari semasa ke semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN