PETALING JAYA – Noir, jenama produk penjagaan kecantikan telah bekerjasama dengan jenama bakeri Perancis, Paul yang akan berlangsung sepanjang bulan Ramadan di PAUL Pavilion Kuala Lumpur.
Kerjasama itu adalah usaha syarikat untuk mengukuhkan jenamanya sekali gus membuka laluan buat syarikat untuk menembusi pasaran lebih luas termasuk ke peringkat antarabangsa.
Pengasas Noir, Eriyca Baiduri Abd Rashid berkata, kerjasama itu adalah satu peluang besar buat syarikat memandangkan jenama Noir itu juga berasal dari Perancis.
“Apabila Paul datang kepada kami, kami memang gembira untuk bekerjasama. Kita tahu Paul adalah sebuah jenama antarabangsa, jadi kami rasa sangat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada pengalaman mereka sepanjang Ramadan ini.

“Bagi Noir, ini bukan sekadar jualan semata-mata tetapi lebih tentang pemasaran. Pada saya, pemasaran adalah nombor satu. Macam mana orang nak beli kalau mereka tak kenal produk kita? Sebab itu kami beri fokus besar kepada pemasaran untuk pastikan Noir kekal relevan,” katanya di sini baru-baru ini.
Eriyca menerangkan, melalui kerjasama tersebut, pihaknya merancang untuk membuka sebuah cawangan baharu.
Tambah beliau, melalui kerjasama tersebut juga, para pengunjung outlet Paul X Noir berpeluang menikmati pelbagai pengalaman eksklusif yang menggabungkan elemen gastronomi dan kecantikan dalam satu suasana premium.
Antaranya termasuk French Iftar Buffet eksklusif di Paul Pavilion Kuala Lumpur dengan menampilkan hidangan Perancis yang diolah khas untuk berbuka puasa dalam suasana tenang dan berkelas.
Gandingan unik ini juga turut mengetengahkan elemen kecantikan Noir menerusi edisi khas L’Amour dalam koleksi Velvet Care Lipstick yang diinspirasikan daripada estetika Perancis.

Sementara itu, Pengarah Urusan Paul, Jean Pierre Erba, berkata, kerjasama itu mencerminkan pendekatan syarikat dalam memperluaskan pengalaman gaya hidup kepada pelanggan di Malaysia.
“PAUL sentiasa menekankan gaya hidup Perancis autentik yang bukan sekadar makanan. Bersama Noir, kami menggabungkan seni gastronomi Perancis dengan elemen kecantikan dan ekspresi diri, mewujudkan satu pengalaman Ramadan yang lebih bermakna dan berbeza untuk pelanggan.
“Malaysia merupakan pasaran penting bagi Paul dan inisiatif seperti ini mencerminkan komitmen berterusan kami menawarkan pengalaman berkualiti tinggi yang relevan dengan budaya tempatan, sambil mengekalkan identiti jenama global kami, jelasnya.
PAUL kini mempunyai lebih 750 cawangan di 45 buah negara. -KOSMO! ONLINE














