KUALA TERENGGANU – Seorang penyokong Selangor FC dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap seorang anggota polis Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada Ahad lalu.
Orang kena saman (OKS), Alfadli Awaludin, 44, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mengeluarkan kata-kata kurang sopan iaitu ‘Takkan mahu bakar suar di dalam hutan, nak suruh beruk tengok ke’, terhadap Inspektor Azmi Mahamad Nor @ Mohamad Nor.
OKS didakwa melakukan perbuatan tersebut di pekarangan Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada pukul 7 malam, 1 Februari lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan OKS diikat jamin sebanyak RM1,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 5 Mac depan.
Sementara itu, di mahkamah sama, Majistret Noor Mazrinie menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap tiga
penyokong Selangor FC lain atas pertuduhan memiliki suar tanpa lesen sah.
Lima lagi penyokong Selangor FC lain pula didenda RM2,800 hingga RM3,200 oleh Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak
di mahkamah majistret atas kesalahan sama. – KOSMO! ONLINE














