GEORGE TOWN – Taktik licik menggunakan kawasan ‘blind spot’ (titik buta) bagi memindahkan minyak mentah secara haram bernilai lebih RM512 juta akhirnya terbongkar selepas dua kapal tangki ditahan pasukan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang pada 29 Januari lalu.
Pengarahnya, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kegiatan pemindahan minyak dari kapal ke kapal itu berjaya dikesan meskipun dilakukan di kawasan perairan tanpa liputan pemantauan.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati minyak mentah tersebut dipercayai berasal dari Iraq selepas semakan dibuat bersama syarikat perkapalan berkaitan.
“Pemindahan melibatkan kapal tangki bersaiz besar atau super tanker dan dipercayai dirancang mengambil masa kira-kira empat hari.
“Bagaimanapun, operasi penguatkuasaan berjaya dijalankan pada hari kedua sekali gus menggagalkan cubaan tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Latihan Menembak Bersama Rakan Strategik serta Rakan Media sempena Ulang Tahun ke-21 Maritim Malaysia di Lapang Sasar FRU, Padang Tembak di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan aktiviti itu pernah dilakukan sebelum ini memandangkan lokasi terbabit dikenal pasti sebagai kawasan ‘blind spot’. – KOSMO! ONLINE














