KUALA LUMPUR – Skop perlindungan sosial bagi semua kategori pekerja termasuk pekerja gig, kontrak dan separuh masa, yang sebelum ini terpinggir terus diperkukuh melalui penggubalan Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872].
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, akta itu merupakan satu langkah penting yang menyediakan rangka kerja perundangan bagi melindungi pekerja gig.
“Akta ini menetapkan hak dan perlindungan minimum kepada pekerja gig, khususnya dari segi upah, keselamatan pekerjaan serta akses kepada mekanisma aduan.
“Selaras dengan akta ini, Majlis Perundingan Gig akan ditubuhkan sebagai platform tipartit yang melibatkan wakil Kerajaan, wakil pekerja gig dan wakil entiti kontrak,” katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai inisiatif terbaharu dalam memperluaskan skop perlindungan sosial kepada pekerja termasuk golongan pekerja gig, kontrak dan separuh masa yang masih terpinggir.
Khairul Firdaus berkata, kerajaan juga telah memperluas liputan perlindungan sosial melalui pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4].
“Pada 18 Disember 2025, Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 telah diluluskan di Dewan Negara.
“Pindaan ini memperkenalkan Skim Lindung 24 Jam, yang menyediakan perlindungan menyeluruh kepada pekerja yang layak sepanjang tempoh penggajian, termasuk bagi kemalangan yang berlaku di luar waktu kerja dan tidak berkait secara langsung dengan pekerjaan,” katanya.
Jelasnya, skim ini menawarkan pelbagai manfaat, antaranya faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah rrang tanggungan, faedah pengurusan mayat, serta faedah pemulihan atau Ppndidikan, bagi memastikan kesejahteraan pekerja dan sokongan kepada keluarga mereka.
“Selain itu, kerajaan telah menambah baik Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 [Akta 800] melalui kenaikan elaun pencari kerja dan latihan kemahiran, serta pengenalan Elaun Mobiliti sebanyak RM1,000 di bawah skim Lindung Kerjaya bagi individu yang menerima tawaran pekerjaan melebihi 100 kilometer dari tempat tinggal asal.
“Langkah ini bertujuan menggalakkan mobiliti tenaga kerja serta meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja,” katanya. -KOSMO! ONLINE














