KOTA BHARU – Seorang pekerja syarikat kurier dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencederakan isteri yang hamil dalam bilik tidur sebuah rumah di Kampung Buloh Poh, di sini bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Aniq Haikal Amirudin, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 19 tahun dalam bilik tidur di Kampung Buloh Poh kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 16 Januari lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nabil Mohamed Asri mencadangkan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nik Nazriani Nik Ab Rahman dalam rayuannya memohon tertuduh diikat jamin dengan jumlah minimum kerana pemuda itu berpendapatan RM2,000 sebulan selain menanggung isteri yang hamil.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Mac ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














