KUALA LUMPUR – Status media sosial yang dimuat naik pemain beregu wanita negara, Go Pei Kee mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat apabila timbul dakwaan pemain itu berkemungkinan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Tanda tanya mengenai masa depan pemain berusia 24 tahun itu tercetus selepas Pei Kee memuat naik satu hantaran di Instagram yang dilihat memberi bayangan seolah-olah bakal berpisah dengan badan induk badminton negara, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat.
Bagaimanapun, Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky menjelaskan bahawa sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi berhubung perkara tersebut.
“Belum ada apa-apa secara rasmi. Setakat ini, tiada surat dan tiada pengesahan. Apa yang kita lihat hanyalah di media sosial dan kita tidak tahu maksud sebenar di sebaliknya,” kata Rexy.
Dalam masa sama, Rexy tidak menolak kemungkinan satu pertemuan akan diadakan antara Pei Kee dan pengurusan BAM, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Prestasi, Datuk Seri Lee Chong Wei bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung situasi sebenar.
Namun, beliau menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan masa depan pemain berkenaan hanya akan dibuat menerusi saluran rasmi dan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Terdahulu, Pei Kee memuat naik sebuah video pendek dengan kapsyen berunsur ‘galau’ yang mengundang pelbagai tafsiran, sekali gus mencetuskan teka-teki mengenai hala tuju kerjayanya bersama BAM.
Sebelum ini, Pei Kee membuat keputusan untuk tidak lagi bergandingan dengan Teoh Mei Xing selepas merasakan gandingan tersebut tidak mampu melangkah lebih jauh.
Susulan itu, barisan jurulatih negara memutuskan untuk menggandingkan Mei Xing bersama pemain remaja, Tan Zhing Hui manakala Pei Kee akan digandingkan dengan Cheng Su Hui bagi dua kejohanan di Singapura iaitu Cabaran Antarabangsa Singapura 2026 (24 Februari hingga 1 Mac) dan Siri Antarabangsa Singapura 2026 (3 hingga 8 Mac).
Sebagai rekod, gandingan Pei Kee–Mei Xing mula digandingkan pada Jun 2024 dan pernah mencatat pencapaian terbaik apabila melonjak ke ranking ke-18 dunia, selain meraih satu kejuaraan menerusi kemenangan di Malaysia Super 100 2024. KOSMO! ONLINE














