ALOR SETAR – Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) memandang serius isu ceramah berunsurkan politik di masjid dan berpandangan pemisahan yang jelas antara ruang ibadah dan politik amat penting dalam menjamin keharmonian masyarakat.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin merangkap Yang Dipertua MAIK bertitah, ia juga penting bagi mengelakkan agama Islam daripada dieksploitasi sebagai alat legitimasi atau propaganda kepentingan tertentu.
“MAIK akan terus melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan, berlandaskan hukum syarak, undang-undang serta perlembagaan negeri demi memastikan kestabilan, keharmonian dan perpaduan umah di Kedah sentiasa terpelihara,” titah baginda dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Titah Tengku Sarafudin, MAIK memandang serius isu ceramah berunsurkan politik di masjid.
“Baru-baru ini telah tular di media sosial mengenai surat dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) mengenai penolakan acara ceramah di sebuah masjid.
“Penolakan ini berasaskan pekeliling yang telah dikeluarkan dan perkara ini telah pun diambil tindakan yang sewajarnya. Adalah diharapkan perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang dan sekiranya berulang, tindakan akan terus diambil,” titah Raja Muda.
Baginda bertitah, MAIK juga menegaskan bahawa tohmahan atau fitnah yang disebarkan melalui apa jua medium bagi menjejaskan imej JHEAIK dan MAIK adalah tidak wajar dan hendaklah dihentikan serta merta.
“JHEAIK dan MAIK akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara ini,” titah baginda.
Tengku Sarafudin bertitah, MAIK menjunjung titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah selaku Ketua Agama Islam Negeri pada 19 Julai 2023 berhubung ketetapan bahawa masjid dan surau hendaklah dipelihara kesuciannya serta kekal bebas daripada sebarang unsur perpecahan dan kepentingan politik kepartian.
“Menjunjung titah tersebut, MAIK menjelaskan bahawa semua bentuk pengisian agama di masjid dan surau adalah tertakluk kepada peraturan, garis panduan serta kebenaran ditetapkan pihak berkuasa agama negeri.
“Tiada mana-mana individu atau pihak dikecualikan daripada pematuhan peraturan ini, tanpa mengira jawatan, kedudukan atau latar belakang masing-masing,” titah baginda.
Selain itu, baginda bertitah, ketetapan itu dilaksanakan secara adil, konsisten dan saksama demi memelihara kemuliaan masjid serta kewibawaan institusi agama Islam di Kedah. – KOSMO! ONLINE














