IPOH – Seorang lelaki yang tular memegang sebilah parang dan menunjukkan isyarat lucah kepada pengguna jalan raya dalam kejadian di Pekan Baru, di Ipoh sudah dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 15 Januari lalu dan hanya dimuat naik di media sosial hari ini.
Katanya, tiada laporan polis diterima daripada mana-mana pihak berhubung kejadian itu, setakat hari ini.
“Walaupun parang tersebut tidak digunakan untuk dijadikan senjata atau sebagai satu ancaman, tetapi perbuatan lelaki itu telah menimbulkan rasa kurang senang pada orang ramai.
“Individu berkenaan juga telah menunjukkan isyarat jari tengah kepada orang ramai yang menegur perbuatannya. Suspek dan individu terbabit telah dikenal pasti dan akan dikesan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, hari ini.
Terdahulu tular di media sosial rakaman video berdurasi 25 saat yang memaparkan seorang lelaki menunjukkan sebilah parang dan isyarat lucah ketika berada di dalam sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sultan Idris Shah di Pekan Baru.
Menurut maklumat tular, kejadian berlaku pada 15 Januari lalu, pukul 9.26 malam dan dikatakan maklumat kejadian itu telah dilaporkan kepada pihak polis namun tiada tindakan diambil. – KOSMO! ONLINE














