KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) menyokong penuh usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk meminda undang-undang sedia ada bagi memperketatkan hukuman terhadap kes kecurian kabel yang semakin berleluasa.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, menyokong usaha KDN untuk memperketatkan hukuman sedia ada untuk memberi kesan pencegahan yang tegas kepada pelaku jenayah.
“Kami amat mengalu-alukan langkah KDN, khususnya Datuk Seri Saifuddin, yang sedang merangka pindaan undang-undang bagi memperketatkan hukuman terhadap kes kecurian kabel.
“Ketika ini, kesalahan kecurian kabel dianggap kesalahan kecil dengan anggaran denda sekitar RM1,000 hingga RM2,000, yang jelas tidak memberi kesan kepada pelaku,” katanya.
Menurut beliau, cadangan kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) supaya meneliti semula skop kesalahan kecurian kabel memandangkan kesannya jauh lebih besar berbanding nilai kerugian sebenar kabel yang dicuri.
“Kecurian kabel bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan kepada operator, malah menjejaskan prasarana pengangkutan awam serta keselamatan perkhidmatan, dengan KTMB antara yang kerap terjejas akibat gangguan operasi.
“Walaupun berisiko tinggi, pencuri kabel tetap aktif kerana pulangan lumayan sehingga membahayakan keselamatan diri dengan kemungkinan gencatan elektrik dan kehilangan nyawa kerana memasuki kawasan larangan,” ujarnya.
Anthony menegaskan, jenayah kecurian kabel wajar dilihat sebagai satu bentuk sabotaj terhadap mengganggu keselamatan serta operasi pengangkutan awam dan bukan sekadar kes kecurian biasa.
“Bagaimanapun, kemungkinan untuk menukar infrastruktur bagi mengelak kecurian kabel berleluasa adalah hampir mustahil, memandangkan kebanyakan infrastruktur telah beroperasi bertahun-tahun dengan kos pembaikan dan penggantian yang tinggi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika pelancaran Penjejak Penjimatan Pas My50 di LRT Ampang Park, di sini, hari ini.
Sementara itu, MOT menegaskan bahawa isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan berat perlu dipandang serius.
“Sejak tahun lepas, pelbagai operasi bersepadu telah dijalankan dan kita berjaya mengesan beberapa pemandu kenderaan berat yang terlibat dengan penggunaan dadah. Isu ini memang serius dan memerlukan tindakan tegas,” ujarnya.
Tegas Anthony, pihak syarikat dan pengendali perlu merangka langkah-langkah bagi memastikan semua pemandu mereka bebas daripada dadah, demi keselamatan pengguna jalan raya lain. –KOSMO! ONLINE














