SEBERANG PERAI – Seorang ibu tunggal ditemukan maut selepas dipercayai dikelar pada leher dalam kejadian di rumahnya di Flat Sri Murni, Sungai Dua, Butterworth di sini, hari ini.
Mayat mangsa berbangsa India berusia 41 tahun itu dijumpai terbaring dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik tidur kediamannya yang terletak di aras satu flat berkenaan.
Penemuan mayat mangsa dipercayai selepas jirannya memaklumkan kejadian berlaku kepada pihak polis tengah hari tadi.
Difahamkan mangsa tinggal di kediaman itu bersama seorang anak lelakinya berusia 15 tahun.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu pihaknya masih mengumpul maklumat mengenai motif sebenar kejadian berlaku. -KOSMO! ONLINE














