KUALA LUMPUR – Ekonomi negara terus berada pada landasan positif apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan berkembang sekitar 4.9 peratus bagi tahun 2025, sekali gus mencerminkan keyakinan yang semakin pulih terhadap pengurusan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi itu dicapai hasil pengurusan fiskal yang berdisiplin serta komitmen kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus dan memulihkan kepercayaan terhadap institusi awam.
Menurutnya, keyakinan pelabur tidak boleh dibina melalui slogan atau langkah jangka pendek, sebaliknya memerlukan dasar yang konsisten, jelas dan berterusan.
Anwar menegaskan, pencapaian ekonomi tidak harus dinilai berdasarkan angka semata-mata sekiranya rakyat tidak merasai kesannya dalam kehidupan seharian.
“Pertumbuhan mesti dirasai di rumah, di tempat kerja dan dalam kos sara hidup yang ditanggung rakyat. Jika tidak, ia hanya menjadi angka di atas kertas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Malaysia 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan pendirian tegas kerajaan Madani dalam memerangi rasuah tanpa sebarang kompromi, termasuk terhadap golongan berpengaruh.
Katanya, tanpa akauntabiliti, negara tidak akan mempunyai kredibiliti dan tanpa kredibiliti, pertumbuhan ekonomi tidak akan mampan.
Perdana Menteri turut menyifatkan pengukuhan nilai ringgit sebagai petunjuk kepada tahap kepercayaan terhadap dasar kerajaan serta kestabilan institusi negara.
Menurutnya, kerajaan juga giat meneruskan reformasi institusi bagi memastikan integriti tidak bergantung kepada individu semata-mata, sebaliknya disokong oleh sistem yang kukuh.
Anwar berkata, tumpuan turut diberikan kepada pembangunan modal insan, termasuk peruntukan melebihi RM84 bilion kepada sektor pendidikan dalam Belanjawan 2026. – KOSMO! ONLINE














