LONDON – Kemenangan 1-0 ke atas Chelsea pada aksi timbal balik separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) di Stadium Emirates awal pagi semalam sudah cukup untuk membawa Arsenal ke perlawanan akhir.
Gol tunggal perlawanan yang dijaringkan penyerang, Kai Havertz memastikan The Gunners mencatat kemenangan selesa 4-2 secara agregat untuk melangkah ke final pertama mereka musim ini.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan kemenangan itu sebagai sesuatu yang istimewa memandangkan mereka berdepan tentangan sengit daripada Chelsea sepanjang perlawanan tersebut.
“Ia merupakan satu perlawanan yang besar dan ia berakhir dengan cukup sempurna untuk kami. Saya tahu perlawanan hari ini (semalam) akan menjadi sukar, ditambah pula dengan cuaca dan keadaan padang.
“Ini adalah ‘pertempuran’ sebenar tetapi semua pemain tahu dan faham apa yang perlu dilakukan. Bagi saya, tidak ada banyak perbezaan antara kedua-dua pasukan pada pertemuan hari ini (semalam),” katanya.
Pengendali dari Sepanyol itu juga menganggap kejayaan melangkah ke final EFL mampu menjadi pembakar semangat buat Arsenal bagi memburu lebih banyak kejayaan dalam usaha mereka melengkapkan gelaran quadruple.
“Setiap kemenangan akan memberikan anda keyakinan. Bagi saya, ia membuatkan kami lebih tenang dan yakin untuk menang dalam perlawanan-perlawanan akan datang tidak kira siapakah lawan kami,” ujar Arteta. – AGENSI














