fbpx
Dr. Muhamad Akmal

Dr. Muhamad Akmal nafi bikin drama, serius letak jawatan Exco

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ketua Pemuda Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menegaskan keputusannya untuk melepaskan jawatan Exco kerajaan Melaka bukan drama politik.

Katanya, pihak yang mendakwa beliau menipu tentang perkara itu tidak membaca kenyataan penuh oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh semalam.

“Semalam berita gempar kenyataan Ketua Menteri kata Dr. Muhamad Akmal masih lagi Exco. Bila baca tajuk, ramailah geng-geng yang konon-kononnya terpaling kata dramalah, kata kita tipulah, apalah sebab dia baca tajuk saja.

“Jadi yang inilah level yang saya nak beritahu, level geng-geng sebelah sana. Kita ini anak jantanlah. Kalau nak letak jawatan, kita cakap, kita letak jawatanlah,” katanya dalam satu kenyataan menerusi media sosial hari ini.

Dr. Muhamad Akmal menjelaskan, kenyataan Ketua Menteri Melaka bahawa beliau masih memegang jawatan Exco kerana perkara itu belum diputuskan secara rasmi oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Jelas beliau, surat peletakan jawatan sebagai Exco kerajaan Melaka telah dihantar kepada Yang di-Pertua Negeri melalui Ketua Menteri Melaka pada 19 Januari lalu.

Bagaimanapun, katanya, Yang di-Pertua Negeri ketika itu sedang bercuti dan selepas pulang, Ketua Menteri Melaka pula menjalani lawatan kerja ke China dan Jepun.

Menurutnya, Ketua Menteri Melaka hanya kembali ke Malaysia dua hari lalu menyebabkan belum wujud perbincangan rasmi dengan Yang di-Pertua Negeri.

Ujar beliau, memandangkan jawatan Exco dilantik oleh Yang di-Pertua Negeri mengikut Perlembagaan Negeri, maka keputusan perlu dibincangkan terlebih dahulu.

“Selagi perbincangan belum diadakan, tiada keputusan boleh dibuat dan dijangka perbincangan serta keputusan akan dibuat dalam minggu ini. Jadi, jangan risau. Saya ni bukanlah macam pemimpin kamu yang bercakap saja, sembang-sembang-sembang tapi takut nak buat keputusan.

“Saya nak beritahu. Saya punya pejabat Exco pun dah kosong. Saya ini menunggu dan menghormati institusi selagi mana tiada keputusan rasmi dan saya harap Yang di-Pertua Negeri akan terima surat peletakan jawatan saya, selepas itu rasmi. Jadi, janganlah merentan sangat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN