KOTA BHARU – Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara enam bulan di Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan bapa kandungnya dengan menggunakan kayu pada Isnin lalu.
Tertuduh, Yusmainy Husain, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap bapa kandungnya, Husain Mahmood, 78, di Kampung Pauh, Pengkalan Chepa, di sini kira-kira pukul 12 tengah hari pada 2 Februari lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nabil Mohamed Asri manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nazriani Nik Ab. Rahman.
Terdahulu, Ahmad Nabil memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi perbuatan tersebut pada masa akan datang.
Nik Nazriani dalam rayuannya meminta hukuman penjara minimum kerana tertuduh hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mengikut fakta kes, Yusmainy yang mahu mengambil sebuah motosikal bertindak memarahi Husain dengan berkata ‘menatang ni’ sebelum bapanya itu mengeluarkan kata-kata sama.
Keadaan itu menyebabkan Yusmainy turun daripada motosikal sebelum mengambil sebatang kayu dan memukul bapanya sehingga lebam pada tangan kiri. – KOSMO! ONLINE














