KUALA LUMPUR – Skuad badminton lelaki kebangsaan terpaksa berpuas hati apabila sekadar menjadi naib juara Kumpulan D pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 selepas tewas kepada Indonesia.
Pada aksi terakhir peringkat kumpulan yang berlangsung di Pusat Sukan Qingdao, China sebentar tadi, pasukan negara terpaksa akur tewas 2-3 meskipun bermula baik dengan mendahului 2-0.
Perlawanan tersebut menyaksikan Malaysia terlebih dahulu meraih mata pertama menerusi pemain perseorangan, Justin Hoh yang berjaya menewaskan Zaki Ubaidillah 21-16, 21-19 dalam tempoh 46 minit.
Bagaimanapun, Justin cemas seketika di set kedua apabila pemain lawan bangkit mengejar dan menyamakan kedudukan 19-19 biarpun pada awalnya mendahului dengan perbezaan mata cukup besar 15-7.
Gandingan Arif Junaidi-Yap Roy King menggandakan kedudukan pasukan negara untuk mendahului 2-0 selepas menewaskan Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana dalam aksi tiga set 21-13, 12-21, 21-13.
Bagaimanapun, momentum itu tidak dapat diteruskan perseorangan kedua, Eogene Ewe yang tewas 12-21, 21-14, 15-21 kepada Prahdiska Bagas Shujiwo, sekali gus membolehkan Indonesia merapatkan kedudukan 2-1.
Kekalahan dialami Eogene menyebabkan Malaysia kempunan untuk memastikan kemenangan 3-0, sekali gus perlu mengharapkan beregu, Choong Hon Jian-Haikal Nazri yang menentang Raymond Indra-Nikolaus Joaquin.
Hon Jian-Haikal memulakan perlawanan keempat dengan baik apabila menang set pertama, namun mereka gagal untuk mengekalkan rentak itu apabila tewas 21-16, 11-21, 19-21 bagi membolehkan Indonesia menyamakan kedudukan 2-2.
Kemudian, tugas berat dihadapi perseorangan muda, Kong Wei Xiang apabila perlu berdepan bekas pemain No.2 dunia, Anthony Ginting dalam misinya memburu mata kemenangan buat pasukan negara.
Biarpun bermula baik di awal permainan, namun juara bawah 21 tahun kebangsaan itu tidak dapat menyekat kebangkitan Ginting sebelum tewas 17-21, 21-13, 16-21 sekali gus menjadi mata kemenangan buat Indonesia.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan berpasukan itu adalah menjadi juara kategori lelaki ketika edisi 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. – KOSMO! ONLINE














