ALOR SETAR – Seorang anggota tentera darat putus kaki kanan selepas motosikal berkuasa tinggi yang dia tunggang terlibat kemalangan dengan sebuah pikap di Jalan Pinang Jaya, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 33 tahun yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu pikap jenis Toyota Hilux berusia 30 tahun membuat pusingan U selepas membuang sampah ke dalam tong di tepi jalan.
“Semasa membuat pusingan U, motosikal jenis Yamaha YZF-R1 yang ditunggang mangsa melanggar bahagian kiri hadapan pikap dari arah Padang Kunyit menuju ke Jalan Bukit Pinang.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal terjatuh di atas jalan sebelum dikejarkan ke HSB bagi tujuan rawatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan parah apabila kaki kanan putus dari bahagian lutut.
Katanya, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu pikap yang membuat pusingan U tanpa berhati-hati sehingga dilanggar oleh motosikal yang berada di laluan bertentangan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Selain itu, pemilik pikap akan disaman atas kesalahan membenarkan individu yang tidak mempunyai lesen memandu kenderaan miliknya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














