fbpx
Gambar hiasan.

Ahli perniagaan simpan kulit harimau tanpa permit dijel 2 tahun, denda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang ahli perniagaan yang menyimpan satu bahagian kulit harimau belang tanpa permit khas mengundang padah apabila dia dipenjara dua tahun dan didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Hakim Mohd. Zaki Mohd. Salleh menjatuhkan hukuman itu ke atas Datuk Seri Ng Sing Huat, 51, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan di atas pertuduhan. Tertuduh dijatuhi hukuman penjara dua tahun bermula hari ini dan didenda RM300,000, jika gagal membayar denda dipenjara 12 bulan,” kata Mohd. Zaki.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam, Hasshahari Johari Mawi yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dengan jumlah jaminan RM30,000 serta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Mohd. Zaki berkata mahkamah bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan bahawa mangsa di dalam kes ini adalah ‘bisu’ iaitu yang tiada tubuh badan cuma kulit.

“Sebagai seorang manusia, kita semua harus ada kasih sayang, simpati dan empati kepada haiwan yang kita bela. Contohnya anjing dan kucing, kita sayang, kita empati dan kita simpati. Jadi perkara sama harus dipraktikkan kepada haiwan liar. Tidak ada bezanya,” kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, Sing Huat didakwa menyimpan satu bahagian kulit harimau belang iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa permit khas di sebuah premis kediaman di Jalan Tun Razak, di sini pukul 12.45 tengah hari pada 1 Ogos 2022.

Justeru pertuduhan mengikut Seksyen 68(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 68(2)(c) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM100,000 dan maksimum RM500,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Amanina Mohamad Anuar dalam hujahan pemberatan hukuman memohon agar hukuman berat dan setimpal diberikan kepada tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

Ini kerana tindakan menyimpan hidupan liar tanpa kebenaran adalah kesalahan serius apatah lagi melibatkan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya dan merupakan spesis terancam.

“Untuk makluman mahkamah, harimau belang adalah spesis hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya iaitu spesies yang tidak boleh diimport dan dieksport tanpa permit.

“Perbuatan ini jika tidak dibendung akan menyebabkan bukan sahaja harimau belang, malah mana-mana hidupan lain yang pupus jika tidak dipelihara sewajarnya,”katanya.

Mendengar perkara itu, Hasshahari memohon mahkamah mengenakan hukuman denda paling minimum dan penjara sehari terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh menanggung keluarga termasuk isteri dan tiga anak serta ibu bapa yang sudah berusia.

Sepanjang perbicaraan seramai tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh telah memberi keterangan pada perbicaraan bermula April tahun lepas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI