KUALA LUMPUR – Seramai 744 warga asing telah membeli rumah di negara ini menerusi Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) sehingga 31 Disember 2025.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, jumlah tersebut didominasi oleh peserta dari China, Taiwan dan Singapura.
Menurut beliau, jumlah peserta MM2H tertinggi dari China seramai 304, Taiwan (91), Singapura (63), Amerika Syarikat (41), United Kingdom (40) dan Hong Kong (34)
“Sehingga 31 Disember 2025, seramai 744 peserta MM2H telah membeli rumah di bawah program ini, manakala 2,637 peserta lain masih dalam proses pembelian.
“Ini termasuk memuktamadkan perjanjian jual beli dan mengenal pasti lokasi rumah yang sesuai,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd. Ramli (PH-Dungun) berhubung jumlah terkini rumah yang telah dijual kepada warga asing melalui program MM2H.
Terdahulu, King Sing berkata, program MM2H tidak pernah memberi permohonan kewarganegaraan, pemastautin tetap atau MyPR.
Jelas beliau, ia adalah Program Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang dengan kemudahan Visa Berulang Alik yang membolehkan warga asing tinggal di Malaysia bagi tempoh lima hingga 20 tahun melalui empat kategori utama.
Kata beliau, empat kategori itu adalah Platinum (20 tahun), Gold (15 tahun), Silver (5 tahun) dan Zon Ekonomi Khas (10 tahun)
“Tempoh endosmen pas bagi semua kategori adalah lima tahun bagi setiap sesi dan peserta boleh memperbaharuinya sehingga tamat tempoh maksimum kategori masing-masing.
“Peserta juga dibenarkan membuat lanjutan setiap lima tahun sekiranya masih berminat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














