JOHOR BAHRU – Dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang merupakan salah satu enam rangka manusia yang dipercayai dibunuh dan dibakar di sebuah rumah dalam ladang kelapa sawit di Kangkar Pulai di sini, tahun lalu.
Tertuduh, R. Utes, 36, dan adiknya, R. Arasan, 32, masing-masing kerja sambilan mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Nabila Rizam.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan memandang kes bunuh dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pendakwaan, mereka secara bersama didakwa membunuh V. Thamil Selvan, 28, (semasa kejadian) di sebuah rumah tidak bernombor dalam ladang kelapa sawit di kawasan Kangkar Pulai di sini, antara pukul 12.30 hingga 4 pagi, 15 September 2025.
Pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup sehingga 30 tahun, jika sabit kesalahan.
Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hamizi Mohd Yusof dan Mohamad Isa Mohamad Basir.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 6 April depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, patalogi dan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA). Tiada jaminan ditawarkan.
Semalam, Kosmo! melaporkan Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad memaklumkan suami kepada seorang daripada mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 9 Januari lalu, setelah menemui rangka manusia ketika mencari isteri dan anak-anaknya yang dilaporkan hilang.
Susulan penemuan itu, beliau berkata, pasukan patologi forensik dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor menjalankan pemeriksaan dan bedah siasat ke atas rangka yang telah dijumpai di rumah yang terletak berhampiran sebuah kuil terbiar itu.
Katanya, siasatan mendapati enam mangsa itu terdiri seorang wanita dewasa berusia 35 tahun, seorang remaja perempuan 19 tahun, dua kanak-kanak perempuan sembilan dan lima tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dan seorang lelaki dewasa berusia 29 tahun.
Susulan siasatan dan risikan lanjut, polis menahan empat suspek warga tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 dan 35 tahun di sekitar Iskandar Puteri pada 21 Januari lalu bagi membantu siasatan.
Hasil semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah. – KOSMO! ONLINE














