CARACAS – Beribu-ribu penyokong bekas pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro yang digulingkan dalam operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS), berarak di Caracas semalam bagi menuntut pembebasannya.
“Venezuela memerlukan Nicolas (Maduro),” laung orang ramai, sebulan sejak beliau digulingkan secara spektakuler dan diculik untuk dibicarakan atas tuduhan dadah di New York.
Presiden interim, Delcy Rodriguez mengambil alih tugas Maduro dengan penuh berhati-hati sejak itu, dengan cuba mendapatkan sokongan daripada Washington dan pengikut Maduro serta rakyat Venezuela dalam masa serentak.
Penunjuk perasaan yang kebanyakannya pekerja sektor awam, memegang gambar Maduro dan isterinya, Cilia Flores, yang turut diculik dalam serbuan AS.
Protes itu yang dianjurkan oleh kerajaan, melalui jalan sejauh ratusan meter, diiringi oleh lori yang membunyikan muzik.
“Mereka ini bukan orang Amerika,” kata anak lelaki Maduro, Nicolas ‘Nicolasito’ Maduro Guerra, yang merupakan seorang timbalan di Dewan Negara Venezuela.
“Kita telah mencapai kesedaran anti imperialis yang mendalam,” tambahnya.
Sebahagian besar penunjuk perasaan mengibarkan bendera Venezuela dan memakai pakaian berwarna merah menyamai gerakan pemerintah Chavista, yang dinamakan sempena pendahulu Maduro, Hugo Chavez.
“Kami rasa keliru, sedih dan marah. Terdapat banyak emosi,” kata seorang pekerja perbandaran, Jose Perdomo, 58.
“Cepat atau lambat, mereka perlu membebaskan presiden kami,” tambahnya. – AFP














