KUALA TERENGGANU – Seramai sembilan penyokong Selangor FC direman sehari lagi sehingga esok bagi membantu siasatan memiliki dan membakar suar serta menghalang tugas penjawat awam di Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini pada Ahad lalu.
Perintah lanjutan reman tersebut dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kesemua suspek sedang disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Kosmo! semalam melaporkan 33 penyokong Selangor FC ditahan setelah berarak dan membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada pukul 6.30 petang, Ahad lalu.
Pemeriksaan mendapati sebahagian mereka positif dan memiliki dadah sewaktu ditahan polis. – KOSMO! ONLINE














