GOMBAK – Seorang remaja perempuan berusia 19 maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 19 sebuah kondominium di Batu Caves, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, sepasukan polis bersama petugas perubatan dari Hospital Selayang digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat.
“Siasatan awal di lokasi mendapati si mati merupakan seorang perempuan tempatan berusia dalam lingkungan 19 tahun.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Ariffin berkata, pemeriksaan lanjut oleh pihak polis tidak menemui sebarang unsur jenayah.
Katanya, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi ahli keluarga mangsa.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Ridzuan Alang di talian 019-4492685 atau Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














