fbpx
Mohd. Isa (dua dari kiri) ketika dilepas dan dibebaskan dua tahun lalu.

Rayuan akhir pendakwaan pembebasan Isa Samad didengar esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad daripada sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak akan didengar esok di Mahkamah Persekutuan di sini.

Sebelum ini, media melaporkan, tarikh pendengaran yang sepatutnya ditetapkan pada 4 Disember tahun lalu, dijadualkan semula kerana Mohd. Isa, 75, dimasukkan ke hospital.

Dalam rayuan itu, pendakwaan merayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dua tahun lalu yang melepas dan membebaskan Mohd. Isa daripada semua pertuduhan.

Pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 7 Mac 2024 dan petisyen rayuan pada 26 Jun tahun lalu dengan mengemukakan 24 alasan mengapa Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika membebaskan beliau.

Pendakwaan merayu agar Mahkamah Persekutuan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 yang mendapati Mohd. Isa bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta dan penjara 18 tahun sekiranya gagal membayar denda.

Petisyen itu antara lain menyatakan Mahkamah Rayuan terkhilaf daripada segi undang-undang apabila membatalkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Mohd. Isa mengarahkan bekas pegawai khas politiknya, Muhammad Zahid Md. Arip untuk meminta rasuah daripada seorang Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd, Ikhwan Zaidel.

Pendakwaan turut menyatakan Mahkamah Rayuan telah terkhilaf daripada segi undang-undang apabila mendapati wujud bukti daripada Ikhwan yang menunjukkan Mohd. Isa tidak pernah meminta habuan daripada beliau dalam dua pertemuan di pejabatnya.

Pada 6 Mac 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara mengetepikan sabitan serta hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi selepas membenarkan rayuan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M Komathy Suppiah berpuas hati, tiada bukti yang menunjukkan terdapat kod perkataan ‘salam’ antara Mohd. Isa dengan Muhammad Zahid yang mengaitkan responden dengan pertuduhan rasuah.

Pada 2018, Mohd. Isa, 75, didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel melalui Muhammad Zahid sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn. Bhd.(FICSB) pada harga RM160 juta.

Kesalahan itu dilakukan di Tingkat 49, Menara FELDA, Persiaran KLCC, di sini, antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN