JAKARTA – Seorang warga emas di Blora, wilayah Jawa Tengah disoal siasat oleh polis selepas dirakam menendang seekor kucing sehingga mati kerana berasa terganggu ketika melakukan aktiviti joging, lapor laman berita Detik.
Kejadian berlaku di Lapangan Kridosono Blora baru-baru ini.
Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @faridaarz menunjukkan
lelaki dikenali sebagai PJ, 60, sedang berjoging lalu menendang seekor kucing yang bersiar-siar dengan pemiliknya.
Tendangan yang kuat pada kepala menyebabkan kucing itu melompat tidak tentu arah.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Blora, AKP Zaenul Arifin berkata, pelaku telah dipanggil untuk disoal siasat.
“Siasatan masih dijalankan dan pelaku telah disoal siasat hari ini (kelmarin) di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Polis Blora. Motif pelaku menendang kucing itu masih belum diketahui,” kata Zaenul.
Rakaman itu mencatatkan lebih 1.8 juta tontonan dan menimbulkan kemarahan ramai pengguna media sosial.
“Dia joging untuk sihat, ternyata sakit jiwa,” kata seorang netizen. – AGENSI














