KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian cukai 10 tahun kepada Yayasan Pendidikan TARC, hari ini.
Anwar berkata, ia selaras dengan kelulusan pengecualian cukai mengikut Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 mengikut peraturan Kementerian Kewangan (MOF).
“Badan-badan atau yayasan pendidikan, dengan peraturan (seperti) yang ditetapkan oleh MOF dan kalau tujuannya untuk pendidikan, sepertimana Yayasan TAR, kita luluskan pengecualian cukai selama 10 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Sesi dialog Temu Anwar di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kampus Kuala Lumpur TAR UMT, hari ini.
Dalam program itu, Anwar turut menyampaikan cek geran kerajaan berjumlah RM40 juta kepada TAR UMT.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Pendidikan TARC, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, ketika ditemui berkata, pengumuman berkenaan memberi ruang kepada pihak pengurusan membuat perancangan.
“Ia adalah berita baik yang mana pihak universiti yang berorientasikan tidak berasaskan kepada keuntungan dalam bidang pendidikan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














