SHAH ALAM – Polis Selangor telah mengenalpasti suspek-suspek terlibat dalam beberapa siri kes tembakan yang berlaku di sekitar Klang dan Kuala Langat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata, pihaknya kini berkolabrasi dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan operasi telah dan sedang dilaksanakan bagi kes-kes tersebut.
“Ada (kenal pasti suspek terlibat) kerana kolabrasi JSJ IPK Selangor dan Bukit Aman telah berjalan sejak insiden berlaku. Justeru itu, kita dapat maklumat yang banyak kerana bantuan JSJ Bukit Aman itu, skop lebih luas.
“Operasi masih aktif, jadi saya tidak boleh beri huraian terperinci. Namun, siasatan telah menunjukkan hasil dan petunjuk positif, memberi keyakinan bahawa langkah membanteras suspek sedang giat dilaksanakan.
“Jadi beri keyakinan kepada Polis Diraja Malaysia dan memang telah dan sedang dilaksanakan dalam (membanteras mereka),” katanya pada sidang akhbar di Mess Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Shazeli menegaskan, penyelesaian kes tidak semestinya melalui tangkapan atau pertuduhan segera.
“Tindakan mungkin dilakukan mengikut konsep lain yang dibenarkan perundangan, terutamanya jika keterangan masih belum mencukupi untuk pertuduhan,” jelasnya.
Ketika ditanya sama ada kaitan kes tembak-tembak dengan Geng Kapten Praba, beliau enggan mengulas mengenainya.
Untuk rekod, terdapat kira-kira lima siri kejadian tembakan telah berlaku sejak Jun hingga 4 Januari lalu.
Semua kejadian berlaku di Taman Meru Utama, Bukit Tinggi, Taman Sentosa, Taman Mesra Indah dan Banting dengan tiada tangkapan suspek utama dilakukan ketika ini. – KOSMO! ONLINE














