CHERAS – Berang abang iparnya didakwa masuk campur dalam urusan rumah tangga, seorang lelaki hilang kawalan sebelum bertindak membakar sebuah kediaman di PPR Desa Tun Razak, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 8.30 pagi daripada pengadu lelaki berusia 40 tahun yang bekerja sebagai penghantar makanan.
Beliau berkata, pengadu menerima panggilan daripada adik perempuannya yang memaklumkan suaminya berada di hadapan rumah untuk mengambil semula barangan miliknya.
“Semasa pengadu membuka pintu, suspek menjerit dan menuduh pengadu yang meruntuhkan rumah tangganya.
“Bagi mengelakkan pergaduhan, pengadu membenarkan suspek masuk mengambil barang manakala pengadu beredar ke hujung tangga blok. Tidak lama kemudian, jiran memaklumkan bahawa rumah pengadu terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tidak sampai tiga jam selepas kejadian, Mohd Rosdi berkata berusia 34 tahun ditahan pada pukul 11.25 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
“Motif kejadian adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan pengadu yang merupakan abang kandung kepada isterinya yang dikatakan masuk campur dalam urusan rumah tangga sehingga suspek dan isterinya ingin bercerai,” katanya.
Beliau berkata, semakan lanjut juga mendapati, suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing adalah positif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 436 dan 506 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














