PETALING JAYA – Seorang penunggang dan anaknya terjatuh selepas motosikal yang mereka naiki didakwa dilanggar di bahagian belakang kereta jenis Peugeot, selepas kenderaan itu dikatakan cuba mengelak Perodua Axia di hadapannya yang mahu membuat pusingan U.
Menerusi video papan pemuka (dashcam) yang dimuat naik pengguna Thread Aidell, kejadian itu berlaku pada pagi semalam di satu laluan di Bandar Baru Bangi.
Pada video berkenaan, kelihatan penunggang tersebut yang terjatuh bersama anaknya dan dia segera bangun mendukung kanak-kanak tersebut.
Kenderaan jenis Peugeot itu juga berhenti di tepi sebaik menyedari kejadian berkenaan, namun tidak dapat dipastikan mengenai pemandu kereta Perodua Axia tersebut sama ada turut berhenti atau meneruskan perjalanan.
Dalam masa sama, kelihatan papan tanda dilarang membuat pusingan U di laluan berkenaan.
Menerusi ruangan komen, ada yang memaklumkan, mangsa dan anaknya tidak mengalami kecederaan serius.
Dalam pada itu, orang ramai meninggalkan pelbagai komen selain marah dengan kejadian tersebut, seterusnya meminta mana-mana pengguna kenderaan yang mempunyai kamera papan pemuka untuk tampil menunjukkan bukti.
“Kasihan budak tu, aku pula yang menggigil tengok,” komen pengguna Thread Tahieyah.
“Tolong lapor kereta tu. Pemilik dashcam, tolong buat sesuatu. Jelas papan tanda tak boleh pusingan U kat situ,” kata Healthy Jaja2019.
“Kat sini pagi-pagi mesti ada kereta tak guna pergi pusingan U,” kata Fahmi006.
“Kasihan budak kecil tu,” komen N.Hnasyyy. – KOSMO! ONLINE














