GEORGE TOWN – Hutan dengan keluasan kira-kira lima hektar di Taman Botani, Jalan Kebun Bunga di sini musnah dalam satu kejadian kebakaran, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 6.24 petang dan kemudiannya bergegas ke lokasi kebakaran.
Menurutnya, operasi memadamkan kebakaran melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dan Paya Terubong.
“Berlaku kebakaran hutan dengan anggaran keluasan lima hektar. Komander Operasi bertindak menjalankan ‘size up’ di lokasi kejadian dan menjalankan kerja-kerja pemadaman.
“Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran. Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran hutan tersebut,” katanya di sini, sebentar tadi.
Katanya, operasi pemadaman masih dijalankan sehingga pukul 9 malam tadi dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari masa ke semasa. -KOSMO! ONLINE














