KUALA LUMPUR – Skuad badminton lelaki kebangsaan menepati ramalan apabila bermula langkah kanan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 selepas menewaskan Myanmar.
Pada aksi sulung Kumpulan D di Pusat Sukan Qingdao, China sebentar tadi, seperti dijangka Malaysia tidak berdepan banyak masalah untuk mencatat kemenangan selesa 5-0.
Bagaimanapun, kemenangan itu tidak diperoleh dengan mudah apabila perseorangan pertama, Justin Hoh dipaksa bekerja keras sebelum menang 21-18, 21-19 ke atas Hein Htut.
Biarpun dijangka boleh mencatat kemenangan mudah, namun bekas juara remaja Asia itu dilihat agak bergelut sepanjang perlawanan sebelum menang dalam tempoh 48 minit.
Kemudian, Eogene Ewe yang turun sebagai perseorangan kedua mengekalkan momentum tersebut apabila membenam cabaran Nyan Shaine Lin 21-10, 21-14 untuk kedudukan 2-0.
Mata ketiga Malaysia disumbangkan juara perseorangan lelaki bawah 21 tahun kebangsaan, Kong Wei Xiang selepas dia menewaskan Lal Zuidika 21-11, 21-11.
Kemenangan diraih Wei Xiang jelas menambah keyakinan beregu lelaki, Aaron Tai-Yap Roy King bagi meletakkan Malaysia 4-0 di depan apabila menang 21-11, 21-9 ke atas Shaine Lin-Phone Htet Zaw.
Gandingan Choong Hon Jian-Haikal Nazri melengkapkan kemenangan sempurna pasukan negara selepas mudah menewaskan Phyo Thurain Kyaw-Zuidika 21-9, 21-7.
Cabaran sebenar pasukan negara adalah menjelang pertemuan menentang Indonesia esok yang boleh dianggap sebagai aksi penentuan juara Kumpulan D. – KOSMO! ONLINE














