KUALA LANGAT – Seluas 4.04 hektar hutan simpan berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Kelambu, Banting musnah terbakar hari ini.
Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor, Hamdan Hamzah berkata,
pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 12.43 tengah hari tadi dengan tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, pasukan bertugas melakukan pemantauan serta perbincangan bersama pegawai zon bagi merangka operasi pemadaman.
“Pihak Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) telah dimaklumkan dan dijangka menghantar bantuan excavator serta mengaktifkan tiub well berhampiran lokasi kebakaran.
“Operasi pemadaman dijangka bermula esok memandangkan tiada sumber air dan akses jalan ke lokasi terhad,” katanya malam ini.
Terdahulu, tular video lebih seminit memaparkan keadaan terkini kebakaran di lokaliti tersebut. – KOSMO! ONLINE














