PETALING JAYA – Tular sebuah video di media sosial memaparkan kejadian malang menimpa seorang kanak-kanak yang dihempap penghadang jemaah di sebuah masjid.
Menerusi video tular asal yang dimuat naik oleh Mhd Sofyan Nasution di Facebook, kejadian tersebut berlaku pada 26 Januari lalu itu kira-kira pukul 6.22 petang.
Dalam rakaman televisyen litar tertutup masjid berkenaan, pada mulanya kelihatan para jemaah sedang menunaikan solat sambil beberapa kanak-kanak dilihat berlari-lari.
Pada masa yang sama, kamera sempat merakam dua jemaah lain di bahagian wanita yang memakai telekung berwarna hijau dan putih saling menolak antara satu sama lain, dipercayai sedang bergurau.
Kejadian malang itu dipercayai bermula apabila seorang jemaah wanita secara tidak sengaja menolak penghadang yang memisahkan ruang jemaah lelaki dan wanita, sebelum struktur tersebut tumbang lalu menghempap seorang kanak-kanak yang kebetulan sedang melintas di kawasan berkenaan.
Kelihatan para jemaah lain yang melihat kejadian itu segera mengangkat penghadang tersebut sebelum mendapati kanak-kanak yang dihempap itu tidak bermaya dan seakan-akan lemah longlai.
Seorang lelaki yang berbaju merah kemudian datang dan mengangkat kanak-kanak tersebut manakala dua jemaah yang bergurau-senda melanggar penghadang itu meneruskan solat seperti tiada apa berlaku.
Bagaimanapun, lokasi sebenar kejadian dan keadaan terkini kanak-kanak tersebut tidak dapat dipastikan.
Video tersebut sekali gus menimbulkan rasa marah pengguna media sosial terhadap dua individu tersebut yang dipercayai telah menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak itu.
“Apa bendalah dah besar pun main-main lagi solat. Lepas dah langgar, minta maaf pun apa tak ada. Teruskan solat macam biasa. Kasihan budak tu,” komen Shazlin.
“Kesian weh tengok budak tu, terus nampak lemah longlai. Harap-harap tiada apa yang serius,” komen Yana pula. – KOSMO! ONLINE














