JAKARTA – Seorang pemilik gerai di Depok, wilayah Jawa Barat diberi amaran agar tidak melakukan aktiviti karaoke di bahu jalan kerana kegiatan itu membahayakan nyawa orang ramai, lapor laman berita Detik hari ini.
Dalam satu video tular yang dimuat naik seorang pengguna media sosial, lelaki dikenali sebagai Jamal itu sebelum ini dilihat melakukan aktiviti karaoke secara ‘TikTok live’ di tepi jalan.
Gerainya terletak betul-betul di tepi jalan berhampiran tol, menyebabkan pengguna media sosial bimbang akan keselamatan orang ramai.
Perkara itu kemudian dilaporkan kepada polis, sebelum pihak berkuasa dengan segera pergi ke lokasi gerai tersebut.
Polis memberi amaran agar Jamal tidak meletakkan perkakas karaoke di atas bahu jalan kerana ia membahayakan pengguna jalan raya dan pelanggan.
“Pemilik Warung Uli Bakar Bang Jamal telah diberi amaran untuk menjalankan aktiviti karaoke secara langsung TikTok tanpa menggunakan jalan raya kerana ia boleh membahayakan dirinya dan pemandu yang melalui lokasi tersebut,” kata Ketua Polis Cinere, Komisioner Chairul.
Lelaki itu akur akan arahan pihak berkuasa dan berjanji untuk tidak lagi bertindak demikian. – AGENSI














