LONDON – Arsenal kini selangkah lagi untuk mengesahkan final pertama mereka musim ini dalam misi memburu kejuaraan Piala Liga Inggeris (EFL) menjelang aksi separuh akhir kedua menentang Chelsea di Stadium Emirates awal pagi esok.
Berdasarkan prestasi semasa, The Gunners mempunyai potensi cerah untuk menjuarai kejohanan itu sekali gus mendakap trofi pertama mereka musim ini.
Biarpun turun beraksi di laman sendiri, namun ia tetap dilihat tidak mudah buat Arsenal yang cuma memiliki kelebihan satu gol dalam tangan selepas menang 3-2 ke atas Chelsea sewaktu aksi pertama di Stamford Bridge bulan lalu.
Bagi pertemuan ini, pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkemungkinan kembali menurunkan Bukayo Saka yang direhatkan ketika menewaskan Leeds United 4-0 selepas mengalami kecederaan sewaktu sesi memanaskan badan sebelum aksi tersebut.
Namun, Arteta pastinya ‘pening kepala’ sama ada menurunkan Saka atau mengekalkan Noni Madueke dalam kesebelasan utama selepas pemain sayap lincah Chelsea itu beraksi cemerlang dengan dua bantuan jaringan ke atas Leeds.
“Noni menunjukkan mentaliti yang betul setiap kali dia diturunkan. Kami pernah berbincang panjang mengenai perkara ini kerana kami mahukan setiap pemain yang beraksi dapat memberikan sehabis baik,” katanya.
Ketika ini, ramai beranggapan Arsenal berada pada landasan tepat untuk merangkul kejuaraan, bukan sahaja satu tetapi berpotensi empat trofi bermula Piala EFL, Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Begitupun, Arteta tidak mahu fokus anak-anak buahnya dipengaruhi kenyataan itu kerana bagi beliau, perjalanan musim ini masih panjang dan apa-apa sahaja boleh berlaku.
“Sebenarnya ini adalah ‘bunyi’ yang indah daripada para penyokong, lebih-lebih lagi apabila kami menjadi pasukan pertama memenangi lapan perlawanan UCL berturut-turut. Saya lebih suka memandangnya dari sudut positif dan jadikan pembakar semangat untuk menang,” jelasnya.
Dalam masa sama, Arteta juga menerima tamparan hebat apabila Mikel Merino mungkin terlepas baki saingan musim ini termasuk aksi timbal balik awal pagi esok kerana kecederaan kaki yang memerlukannya menjalani pembedahan.
Ini bermakna seorang lagi bekas bintang Chelsea, Kai Havertz berkemungkinan kekal menjadi sandaran jika khidmatnya diperlukan di bahagian tengah. – AGENSI














