SEBERANG PERAI – Sebarang keputusan berkaitan pembelian tanah menggunakan dana zakat di Pulau Pinang bukan dibuat secara individu, sebaliknya melalui perbincangan dan persetujuan bersama Jawatankuasa MAINPP.
Demikian menurut Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid kepada pemberita selepas diminta mengulas kontroversi berhubung dakwaan penyalahgunaan dana zakat di Pulau Pinang.
Menurutnya, siasatan yang sedang berlangsung tidak terarah terhadapnya semata-mata, namun turut melibatkan institusi MAINPP.
“Ini kerana keputusan yang dibuat berkaitan isu-isu yang ditimbulkan itu adalah hasil keputusan yang dibuat melalui proses yang melibatkan jawatankuasa dan MAINPP.
“Kalau di MAINPP, keputusan yang berkait rapat dengan zakat, kita akan buat keputusan rapat dengan di peringkat jawatan kuasa dan diangkat ke lembaga pengarah.
“Maka keputusan yang dibuat adalah keputusan bersama yang dipengerusi oleh saya. Maknanya, keputusan itu adalah keputusan bersama,” katanya selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah (MAPAF) dan sumbangan Ihya Ramadan Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 1447H / 2026M yang berlangsung di Bertam di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 berkata, proses pembelian tanah adalah berdasarkan keputusan lembaga pengarah zakat iaitu berkaitan dengan bantuan asnaf yang berkaitan dengan membeli tanah dengan menggunakan dana tawakuf, tanah lebihan yang diputuskan dalam mesyuarat Msjlis Agama Islam. – KOSMO! ONLINE














