PETALING JAYA – “Kalau nak cepat, jangan pilih penghantaran standard.”
Itu luahan seorang penghantar makanan selepas berdepan situasi tegang melibatkan pelanggan dan pihak restoran akibat kekeliruan status pesanan yang didakwa sudah lama siap.
Menerusi satu hantaran di laman Threads, @Zmil, dia memuat naik pengalaman kurang menyenangkan ketika mengambil pesanan di sebuah cawangan restoran makanan segera.
Menurut penghantar berkenaan, sebaik tiba di kaunter restoran, pihak restoran memaklumkan pesanan pelanggan masih belum siap walaupun terdapat satu bungkusan makanan yang jelas kelihatan sudah tersedia di atas meja.
“Saya tunjuk bungkusan yang dah siap tu dan sebut nombor pesanan, tapi staf kata itu bukan order (tempahan) saya dan minta tunggu,” katanya.
Dia kemudiannya menunggu di luar restoran sebelum dimaklumkan pelanggan di ruang sembang aplikasi p-hailing bahawa pihak restoran menyatakan pesanan tersebut sebenarnya sudah lama siap.
Keadaan menjadi tegang apabila berlaku percanggahan maklumat antara pelanggan, penghantar dan pihak restoran sehingga mencetuskan pertengkaran kecil.
“Hanya ada satu bungkusan atas meja dan rupanya memang itu pesanan saya dari awal,” katanya.
Penghantar itu mengakui dirinya hilang sabar susulan salah faham berpanjangan yang boleh dielakkan sekiranya pemeriksaan dibuat dengan teliti sejak awal.
Dalam pada itu, dia turut menegaskan bahawa pelanggan juga perlu memahami perbezaan antara pesanan standard (biasa) dan ‘express’.
“Kalau nak cepat, ambil express. Order standard memang ambil masa sebab rider bawa lebih dari satu pesanan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














