fbpx
SYASYA menyarankan agar masyarakat menggunakan pendekatan yang lebih berhemah sekiranya ingin memberikan teguran.

‘Istiqamah susah, tegur kasar buat kita lagi jauh tutup aurat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Berdepan kecaman gara-gara penampilan tudung dilihat semakin singkat, penyanyi Syasya Rizal meluahkan rasa terkilan dengan sikap segelintir netizen yang gemar menghukum wanita membuta tuli.

Menyifatkan perjalanan untuk istiqamah bukanlah sesuatu yang mudah, Syasya atau nama asalnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 25, menegaskan bahawa iman setiap manusia mempunyai pasang surutnya dan tidak seharusnya dijadikan bahan cercaan.

“Saya paling tak faham bila orang tengok perempuan yang baru mula atau belajar nak pakai tudung, buat salah sikir orang akan terus label macam ‘baik tak perlu pakai tudung’ dan ‘memalukan agama’.

“Kenapa awak cakap begitu? Sejak bila agama Islam ajar kita untuk mengherdik dan memalukan orang lain. Istiqamah adalah perkara yang sangat susah.

“Bukan hari ini pakai, esok terus sempurna. Iman pun naik turun, tak perlu cakap orang, saya sendiri pun sama,” katanya dalam TikTok.

Bagi bekas anggota kumpulan Dolla itu, menyarankan agar masyarakat menggunakan pendekatan yang lebih berhemah sekiranya ingin memberikan teguran agar mereka yang ditegur merasa lebih dihargai.

“Jadi kita kena sentiasa beringat, kalau kita nak menegur tegurlah dengan cara yang elok ‘kan lebih manis kalau akak pakai tudung labuh sikit’ atau ‘akak dah cantik tapi kalau labuhkan tudung, akak mungkin nampak lebih cantik’.

“Kan lembut bunyi macam itu, lagi rasa menggalakkan. Kita kena ingat, perkataan yang lembut akan buat orang lebih dekat dengan kita manakala bahasa kasar akan buat orang lagi jauh dan rasa nak putus asa dalam istiqamah atau menutup aurat,” ujarnya.

Dalam masa sama, Syasya turut menyelar tindakan individu yang berselindung di sebalik akaun palsu semata-mata mahu menjatuhkan maruah orang lain secara umum.

“Yang mengherdik dan memalukan orang pakai akaun palsu. Cuba pakai akaun betul, mungkin saya pun boleh menghakimi awak juga.

“Kenapa tak berani guna akaun sendiri? Sebab awak sendiri tahu di sebalik akaun palsu yang memiliki kosong pengikut, awak sendiri manusia yang tak sempurna dan masih belajar,” tuturnya.

Sempat menitipkan pesanan, Syasya mengingatkan agar semua pihak sentiasa merendah diri dan tidak menganggap diri lebih sempurna berbanding orang lain.

“Ini peringatan bukan untuk kalian tapi untuk saya juga. Kena selalu beringat, jangan pernah rasa diri kita lagi suci, hebat dan sempurna dari orang lain.

“Kita semua sama, masing-masing tengah belajar. Agama Islam bukan pertandingan untuk siapa yang cepat berubah.

“Yang penting kita semua usaha untuk jadi diri kita lebih baik dari semalam. Semua orang ada perjalanan sendiri, tidak kira lambat atau cepat, yang penting jangan berhenti,” luahnya.

Sebelum ini, Syasya memuat naik video menyanyikan lagu Seperti Mati Lampu dalam versi Korea dalam TikTok.

Bagaimanapun, segelintir netizen mengecam penampilannya yang dilihat menggayakan baju pendek dan tudung yang semakin singkat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI