KELAB utama Thailand, BG Pathum United sudah ada strategi ampuh untuk menewaskan Selangor FC sekali gus meraih tiket automatik ke saingan separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) menjelang aksi terakhir Kumpulan B di Stadium MBPJ, malam esok.
Jurulatih BG Pathum, Masatada Ishii berharap barisan pemain dapat berikan seratus peratus di atas padang kerana sedar hanya kemenangan dapat memastikan pasukan lolos ke peringkat seterusnya selepas kedua-dua pasukan hanya dibezakan dengan satu mata.
Namun, jurulatih kelahiran Jepun yang pernah membimbing skuad kebangsaan Thailand sebelum ini mengakui pasukan tuan rumah ketika ini memiliki aura yang berbeza sejak dikendalikan oleh Kim Pan-gon.
“Kita dapat lihat Selangor FC ketika ini berada dalam momentum yang baik dibawah kendalian jurulatih baharu (Pan-gon).
“Saya tidak mahu memberi sebarang tekanan kepada pasukan tetapi saya harap mereka dapat fokus sepenuhnya.
“Kita juga sudah lakukan persiapan terbaik dengan melakukan latihan intesif selain analisa video dalam misi meraih keputusan positif pada aksi kali ini,” katanya.
Di atas kertas, BG pathum memiliki gabungan pemain import dan tempatan yang berkualiti sekali gus mampu memberi ancaman buat Selangor FC seperti Ikhsan Fandi, Raniel, Patrik Gustavsson, Chanathip Songkrasin dan Ekanit Panya. – KOSMO! ONLINE














