MELAKA – Meskipun baru memasuki Februari, kes kebakaran terbuka di negeri ini telah mencecah 285 kes, iaitu meningkat lima kali ganda berbanding hanya 57 kes pada Januari tahun lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd. Zaidi Ma’at berkata, sepanjang tahun lalu, Melaka merekodkan sebanyak 778 kes kebakaran terbuka, yang melibatkan lalang, kebun, hutan dan sampah.
Katanya, kebanyakan kebakaran terbuka berlaku di tepi-tepi jalan dan berpunca daripada sikap masyarakat sendiri, termasuk aktiviti merokok dan pembakaran sampah yang tidak terkawal.
“Kebakaran ini tidak berlaku dengan sendiri, mesti ada pencetus. Contohnya, pengguna jalan raya yang membuang putung rokok.
“Dengan cuaca sekarang dan angin yang kuat, percikan api boleh merebak dengan cepat,” katanya pada sidang akhbar Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2026 JBPM Melaka di Bukit Katil, hari ini.
Beliau menambah, aktiviti pembakaran sisa pertanian dan pembersihan tanah oleh peladang juga menyumbang kepada peningkatan kes.
“Pembukaan ladang-ladang baru turut menjadi faktor, di mana pengusaha membakar sisa pertanian dan meninggalkannya sehingga petang. Api yang menjulang boleh merebak ke kawasan lain,” ujarnya.
Mohd. Zaidi memberitahu, walaupun negara dijangka berada dalam musim Monsun Timur Laut sehingga Mac, namun cuaca panas ketika ini amat membimbangkan kerana ia meningkatkan risiko kebakaran terbuka.
Susulan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa kawalan serta sentiasa berhati-hati dalam semua aktiviti yang melibatkan api, termasuk semasa berkhemah. – KOSMO! ONLINE














