PUTRAJAYA – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) memerlukan sekitar 400 pegawai penyiasat bagi menyokong keperluan operasi dan penguatkuasaannya di seluruh negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, buat masa ini, pihaknya hanya mempunyai empat pegawai penyiasat yang kini berperanan menasihati dalam aspek undang-undang.
Beliau berkata, jumlah 400 pegawai penyiasat yang diperlukan itu penting bagi menyokong sepenuhnya fungsi penyiasatan dan pendakwaan kes dikendalikan AKPS pada masa hadapan.
“Kita memerlukan hampir 400 pegawai penyiasat yang mana menjadi cabaran kepada saya untuk melatih dengan kekuatan sedia ada dan juga pengambilan baru kelak,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan amanat Ketua Pengarah AKPS di sini hari ini.
Justeru, katanya, beliau memerlukan kepakaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aspek siasatan, operasi dan pendakwaan bagi meningkatkan kecekapan pegawai penyiasat agensi itu.
Mohd. Shuhaily berkata, kepakaran PDRM diperlukan untuk mematangkan AKPS dalam masa yang lebih singkat.
Dalam perkembangan sama, katanya, keputusan AKPS meletakkan Datuk Nik Ezanee Mohd. Faisal sebagai Komander Pintu Masuk Pelabuhan Klang sebagai langkah tepat.
“Ini kerana, beberapa kejayaan telah dicapai termasuk membongkar kegiatan pengimportan sisa elektronik (e-waste) secara haram.
“Saya rasa meletakkan seorang pegawai kanan polis di tempat tersebut (Port Klang) membuatkan unsur ataupun pemikiran siasatan itu mendahului segalanya.
“Apabila beliau (Nik Ezanee) melihat akan adanya barang-barang yang mungkin ingin dibawa masuk secara tidak betul dan jenayah di depan mata, maka sebagai seorang pegawai polis dan penjawat awam beliau bertindak,” katanya. – KOSMO! ONLINE














