MANCHESTER – Rentak kemenangan Manchester United sejak dibimbing Michael Carrick berterusan selepas menewaskan Fulham 3-2 dalam aksi penuh dramatik di Stadium Old Trafford sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, United yang masih segar dengan kemenangan menewaskan Arsenal dan Manchester City bulan lalu membariskan kesebelasan terbaik dengan Amad Diallo, Bryan Mbuemo dan Matheus Cunha mengetuai jentera serangan.
Skuad The Red Devils hanya memerlukan masa 19 minit untuk membuka jaringan hasil tandukan Casemiro selepas menerima hantaran Fernandes.
Bersambung pada babak kedua, tuan rumah terus menggandakan asakan dan berjaya melebarkan kelebihan jaringan dan kini giliran Cunha mencetak nama sebagai penjaring hasil hantaran tepat Casemiro pada minit ke-56.
Tersentak dengan gol tersebut, Fulham memperkemaskan jentera serangan dan berjaya meraih gol menerusi ledakan Jorge Cuenca tetapi dibatalkan oleh VAR kerana ofsaid.
Namun, kerja keras pasukan pelawat memberi tekanan kepada United berhasil apabila dihadiakan sepakan penalti pada minit ke-85 yang berjaya disudahkan oleh Raul Jiminez.
Jaringan tersebut menaikkan semangat Fulham untuk terus mengasak dan berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan menarik Kevin pada masa kecederaan.
Ketika kedua-dua pasukan seperti berpuas hati dengan keputusan seri, pemain gantian, Benjamin Sesko muncul wira United apabila meledak gol sebelum wisel penamat ditiupkan.
Keputusan 3-2 kekal sekali gus menyaksikan United terus mengukuhkan cengkapan di kedudukan Top 4 dengan 41 mata. – AGENSI














