PETALING JAYA – Tular satu video memaparkan pegawai polis yang kini digantung tugas, ‘Inspektor Sheila’ sekali lagi membuat kecoh sehingga terpaksa ditahan di Batu Caves malam tadi.
Menerusi beberapa video dimuat naik, ‘Inspektor Sheila’ yang memakai baju dan seluar pendek berwarna hitam kelihatan digari oleh dua polis wanita.
Sebelum itu, berdasarkan beberapa hantaran pengguna lain di media sosial, wanita berkenaan dipercayai bertindak provokatif terhadap orang awam di sekitar kuil dengan didakwa meminta mereka menunjukkan kad pengenalan.
Bagaimanapun punca sebenar pertelingkahan ‘Inspektor Shiela’ bersama orang awam tersebut tidak diketahui.
Dalam sebuah video lain yang mencuri perhatian orang ramai pula, ‘Inspektor Shiela’ dilihat sempat memberikan ‘ucapan’ kepada orang ramai di kawasan tersebut selepas digari polis.
“Untuk maklumat semua, Inspektor Shiela akan menjadi lagi famous (popular) dalam kalangan rakyat Malaysia. Terima kasih kerana sudi menahan saya pada hari yang mulia ini, Hari Thaipusam.
“Kalau saya tak popular, kalau benda ni tak masuk berita dan saya meraih populariti anda tunggu dan lihat. Pihak polis sememangnya cemburu kerana saya memang popular di kalangan pihak media, di kalangan rakyat Malaysia,” katanya bersuara lantang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir dalam satu kenyataan mengesahkan tangkapan yang dibuat terhadap ‘Inspektor Shiela’ malam tadi.
Beliau berkata, kenyataan media berkaitan penahanan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Difahamkan, Inspektor Sheila telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023, seiring beberapa kes lain yang pernah dikaitkan dengannya termasuk menghina seorang anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas.
Sebelum ini juga beberapa kali nama Inspektor Sheila tular kerana didakwa menimbulkan kekecohan di beberapa tempat seperti di kedai makan dan menganggu tugas polis. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














